PENGENALAN TVET
Pendidikan dan Latihan Teknik & Vokasional merujuk kepada Proses Pendidikan yang melibatkan PENDIDIKAN UMUM, PEMBELAJARAN mengenai teknologi dan sains DAN PEMEROLEHAN KEMAHIRAN PRAKTIKAL, SIKAP, PENGETAHUAN dan ILMU berkaitan pekerjaan dalam pelbagai sektor kehidupan ekonomi dan sosial.
Ringkasan
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan bidang yang amat penting dan sektor yang boleh menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara. Tidak seperti sebelum ini apabila peranan TVET dilihat sebagai pembekal tenaga mahir semata-mata, namun pada hari ini, TVET telah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan. Cabaran bagi negara membangun, seperti Malaysia, adalah memastikan potensi sumber manusianya mempunyai sifat dan kualiti yang diperlukan untuk memenuhi keperluan dunia yang makin mencabar. Atas dasar inilah TVET harus berinovasi agar terus menawarkan pendidikan dan latihan yang berkualiti.
UTHM merupakan salah satu universiti teknikal di Malaysia yang komited dalam memastikan graduan yang berkualiti dan memenuhi keperluan industri. Pemurnian terhadap kurikulum dan juga inovasi dalam kaedah penyampaian telah giat dijalankan. Ini termasuklah memperkenalkan konsep pembelajaran TVET yang inovatif. TVET Digital merupakan satu inisiatif yang memperkenalkan konsep pembelajaran secara digital. Ini selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Strategik Pendigitalan KPT 2021-2025 dan kerajaan dalam inisiatif MyDIGITAL yang mensasarkan kepada negara termaju dari segi teknologi, berpacukan digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030.
Pendigitalan dalam sektor pendidikan adalah satu transisi ke arah masa depan. Transformasi ke arah pendigitalan bukan sahaja berlaku dalam sektor pendidikan, malahan juga dari pelbagai sektor perindustrian dan ekonomi.
Memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai ke arah akses kepada pendidikan merupakan tunjung kepada TVET Digital. Pelaksanaan TVET Digital ini akan menjadi mekanisma dalam mencapai Kualiti Pendidikan selari dengan Sustainable Development Goal 4 dengan fokus “Memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua".