Pusat Data
Apakah Pusat Data ?
Pusat data ialah sebuah kemudahan berinfrastruktur tinggi yang menempatkan sistem teknologi maklumat (IT) utama seperti pelayan (server), peralatan rangkaian dan storan data. Di peringkat universiti, pusat data memainkan peranan penting dalam menyokong operasi harian sistem aplikasi akademik, pentadbiran, penyelidikan serta perkhidmatan digital secara berterusan dan selamat.
Fungsi Pusat Data di UTHM
Pusat data direka bentuk untuk memproses, menyimpan dan mengurus data dengan cekap dan terjamin. Di universiti, ia menyokong pelbagai keperluan seperti:
- Menyediakan hosting server untuk aplikasi seperti Sistem Maklumat Pelajar (SMP), Sistem Maklumat Staf (SMStaf), Learning Management System - Sistem AUTHOR, Sistem Kewangan dan lain-lain.
- Menyediakan hosting server untuk laman web rasmi universiti dan pangkalan data pentadbiran.
- Menyediakan persekitaran untuk pengkomputeran awan, repositori digital, CCTV dan sandaran (backup).
- Menyokong perkhidmatan kerja jarak jauh dan capaian sistem secara dalam talian oleh warga universiti.
Ciri-ciri Utama Pusat Data UTHM
Sandaran Operasi:
Sumber bekalan kuasa, sistem rangkaian, dan sistem penyejukan direka bentuk dengan kebergantungan berganda bagi memastikan kelangsungan operasi walaupun berlaku gangguan atau penyelenggaraan.
Kebolehskalaan:
Pusat data universiti boleh dikembangkan mengikut keperluan semasa atau masa hadapan, selaras dengan pertambahan pelajar, aplikasi baharu, serta keperluan penyelidikan dan inovasi digital.
Keselamatan:
Langkah-langkah keselamatan fizikal dan siber dilaksanakan untuk melindungi data, sistem dan peralatan daripada ancaman seperti kerosakan, pencerobohan, atau kehilangan maklumat.
Jenis Pusat Data
1.Enterprise Data Centers
Enterprise data centers adalah salah satu jenis pusat data yang dimiliki dan dikendalikan secara persendirian oleh satu organisasi. Ia dibina untuk menguruskan beban kerja IT yang khusus bagi organisasi tersebut. Enterprise data centers biasanya terletak di lokasi yang sama atau berhampiran dengan ibu pejabat organisasi untuk akses dan pengurusan secara langsung.
Contoh Terperinci
Sebagai contoh, Facebook membina enterprise data centers yang direka khusus untuk menyokong keperluan data yang besar bagi laman rangkaian sosial mereka. Pusat data ini dilengkapi dengan teknologi terkini seperti sistem penyejukan berkuasa AI yang berfungsi untuk memastikan kecekapan maksimum.
Kelebihan
Penyesuaian: Pusat data ini boleh direka bentuk dan dikendalikan mengikut keperluan, dan organisasi boleh menyesuaikan perkakasan dan perisian untuk memenuhi tujuan mereka.
Keselamatan: Memandangkan infrastruktur dimiliki secara persendirian, tahap keselamatan yang tinggi dapat dicapai kerana prosedur keselamatan yang ketat boleh dilaksanakan untuk melindungi data sensitif.
Kawalan: Organisasi mempunyai kawalan penuh terhadap aktiviti mereka, memastikan pematuhan terhadap piawaian pengawalseliaan dan prestasi.
Sesuai Untuk
Institusi korporat seperti institusi perbankan, penyedia perkhidmatan kesihatan, dan syarikat multinasional yang memerlukan keselamatan yang kukuh dan kawalan terhadap maklumat mereka
2. Colocation Data Centers
Colocation data center, yang lebih dikenali sebagai "colo," pada asasnya adalah kemudahan yang menyewakan ruang, kuasa, dan penyejukan supaya penyewa boleh menempatkan peralatan ICT mereka. Ia biasanya dikendalikan oleh pembekal pihak ketiga. Penyedia perkhidmatan colo akan memastikan kemudahan yang disewakan beroperasi 24/7 tanpa penyewa perlu menguruskan penyelenggaraannya secara langsung.
Contoh Terperinci
Organisasi yang tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki pusat data sendiri mungkin memilih untuk menyewa ruang di kemudahan colocation seperti di Pusat Data Sektor Awam (PDSA). Di sana, mereka boleh memasang perkakasan ICT mereka dan mendapatkan sandaran kuasa, penyejukan, dan keselamatan fizikal daripada pembekal.
Kelebihan
Sewa: Tiada perbelanjaan modal awal untuk membina pusat data.
Kebolehpercayaan : Pembekal mengekalkan masa operasi yang tinggi melalui sandaran operasi (redundancy) dari aspek kuasa, penyejukan, dan rangkaian.
Kebolehskalaan : Apabila keperluan meningkat, ruang server boleh dengan mudah diperluaskan.
Sesuai Untuk
PKS dan syarikat permulaan yang mencari hosting data yang murah, boleh skala, dan selamat.
Ciri-ciri pusat data baharu UTHM
Keselamatan
Pusat Data UTHM mengimplimentasikan ciri-ciri keselamatan fizikal dan logikal dalam rekabentuknya. Ia dilengkapi dengan 2 unit firewall, kawalan pintu dengan imbasan wajah, kamera litar tertutub dan Sistem Pemantauan Persekitaran (SPP).
Prestasi dan pengoptimuman Kos
Pusat data UTHM ini mengoptimumkan operasi ICT dengan memastikan ruang penempatan peralatan ICT disejukkan secara efisien menggunakan kaedah in row cooling. Manakala hosting server untuk sistem aplikasi UTHM juga akan menggunakan infrastruktur Hyperconverged (HCI) serta server berspesifikasi tinggi yang dapat memberikan prestasi hosting yang tinggi. Teknologi virtualization pada server fizikal ini akan membolehkan jumlah hosting yang tinggi untuk jumlah fizikal server yang kecil. Ia mengurangkan masa penyelenggaraan dan kos elektrik untuk operasi server. Pusat Data Baharu UTHM akan meneruskan penggunaan 2 talian internet dari pembekal yang berbeza sebagai sandaran untuk memastikan risiko kegagalan sambungan ke internet diminimakan.
Kebolehskalaan dan Fleksibiliti
Penggunaan HCI dan infrastruktur cloud native untuk memberikan perkhidmatan hosting kepada sistem-sistem aplikasi UTHM akan memberikan kebolehan penambahan dan pengurangan sumber CPU, RAM dan disk space dengan lebih mudah.
Pemulihan Bencana dan Kesinambungan Operasi
Pusat data memastikan kesinambungan operasi berterusan untuk sistem kritikal semasa bencana dengan bekalan kuasa alternatif (TNB, Genset dan UPS) dan storan pendua
Pengupayaan Inovasi
Menyokong perkhidmatan Universiti ke arah Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, Kampus Pintar, pendigitalan dan menyediakan kemudahan untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pelajar